Kunjungan Tetamu

OK TAK BLOG NI?

Pilih Tajuk Melarik

get this widget here

Followers

Saudara/ri jelajah dari penjuru dunia

Flag Counter

Monday, August 26, 2013

Apakah hadith siapa kenal dirinya maka kenal tuhannya itu sohih?





Berdasarkan beberapa rujukan daripada bahan-bahan bacaan, dengan bantuan Allah swt, saya jumpa suatu hadith yang mempunyai makna yang hampir sama dengan perkataan ini.

Ditulis dalam kitab Adab Ad-Dunwa wa Ad-Din oleh Imam Al-Mawardi: -

Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. ditanya:

  من أعرف الناس بربه?

Maksudnya: "Siapa yang paling kenal Allah dari kalangan manusia?"

Rasulullah s.a.w. menjawab:

  (أعرفهم بنفسه).

Maksudnya: "Orang yang paling kenal dirinya".

Demikian disebutkan dalam Kasyf AL-Khafa 'oleh Imam Al-' Ajluni, 2/363 cetakan At-Turath di Halab. Begitu juga disebutkan oleh Sheikh Zahid Al-Kauthari yang dinukilkan juga dari Kasyf Al-Khafa 'dalam catatan kepada kitab Al-Aqidah An-Nizhamiyyah fi Al-Arkan Al-Islamiyyah karangan Imamul Haramain.

Maka, perkataan siapa kenal dirinya maka dia kenal Tuhannya adalah olahan lafaz daripada makna hadith tersebut. Mungkin disebabkan itulah, sebahagian ulama 'meletakkannya sebagai hadith dalam bab riwayah bil makna (meriwayatkan hadith secara makna). Walau bagaimanapun, lafaz perkataan di atas sebagaimana dijelaskan bukanlah daripada Rasulullah saw.

rujukan kitab : كشف الخفاء ومزيل الالباس عما اشتهر من الاحاديث على ألسنة الناس

Perkataan ini telah dijelaskan oleh para ulama 'kedudukannya yang tidak thabit daripada Rasulullah saw (Tiada sanad hadith yang dijumpai berkenaan hadith ini yang bersambung kepada Rasulullah saw).

Maka, oleh kerana ianya masyhur dalam perkataan sebahagian ulama 'sufi, maka Imamuna Al-Nawawi sendiri tidak menghukumnya sewenang-wenangnya sebagai palsu dan sebagainya, tetapi sekadar menilai tiada sanad hadith tersebut bersambung kepada Rasulullah saw atau dengan istilah lain, tidak thabit, kerana ketiadaan rujukan tentang sanad hadith ini yang bersambung dengan para ulama 'sufi yang meriwayatkannya dengan Rasulullah saw.

Bahkan, Imamuna As-Suyuti r.a. ada menulis sebuah risalah dalam fatwa beliau bertajuk: "Al-Qaul Al-Asybah fi Hadith Man 'Arafa Nafsahu Faqad Arafa Rabbah ..."

Imam As-Suyuti As-Syazili r.a. menyebut dua maqal (perbahasan) mengenai hadith ini.

Maqal pertama:

"Hadith ini tidak sahih (tidak mempunyai syarat-syarat hadith sahih). Imam An-Nawawi ra telah ditanya mengenainya dalam fatwanya lalu beliau menyebut:" hadith ini tidak thabit "....

Imam Ibn As-Sam'ani menisbahkannya kepada Imam Yahya bin Mu'az Ar-Razi ra.

Maqal Kedua berkenaan Maknanya (makna hadith tersebut):

Imam An-Nawawi berkata dalam fatwanya: Makna perkataan tersebut adalah, sesiapa yang mengenali dirinya dengan sifat lemah dan memerlukan kepada Allah serta bersifat kehambaan kepadaNya, maka dia akan mengenal Allah swt sebagai Tuhannya dengan kekuatanNya, rububiyyahNya, kesempurnaan mutlaknya dan sifat ketinggianNya ... . "

Bahkan, Imam As-Suyuti membawa beberapa syarah para ulama 'terhadap hadith ini walaupun di awalnya menilai sanad hadith sebagai tidak thabit. Antara lain adalah pendapat Imam Ibn 'Atho'illah, Imam Izzuddin dan Imam AL-Qunawi ra dalam Syarh At-Ta'rif.

Lihatlah bagaimana walaupun sbahagian para ulama 'mengkritik sanad hadith tersebut tetapi tetap mensyarahkan maknanya dengan bererti di sisi mereka, makna hadith itu sahih, walaupun bukan daripada Rasulullah saw.

Sheikh Ibn Qayyim Al-Jauziyyah juga ada berkata:

"Ia bukanlah hadith dari Rasulullah saw tetapi merupakan perkataan seorang Isra'il (Yahudi) [-catatan: ini berbeza dengan penilaian Imam Ibn As-Sam'ani] dgn lafaz yang lain juga iaitu:" Wahai manusia, kenalilah dirimu nescaya kamu akan kenal Tuhanmu.

Ia ada tiga ta'wilan (penjelasan): -

Pertama: Sesiapa yang kenal dirinya dengan sifat lemah, maka dia akan mengenal sifat Tuhannya yang kuat ... (Begitulah seterusnya)

Kedua: Sesiapa yang melihat dalam dirinya, lalu mendapati ada sifat-sifat terpuji ... maka dia mengetahui sifat-sifat tersebut adalah pemberian daripada Allah swt ..

Ketiga: Ia adalah bab penafian. Sebagaimana, jika seseorang tidak kenal hakikat dirinya sendiri paling hampir kepada dirinya sendiri, bagaimana mampu kenal Allah swt dengan sebenar-benar hakikat. "[Madarij As-Salikin 1/427-428]

Ini menunjukkan Sheikh Ibn Qayyim sendiri tidak terlalu tasyaddud dengan menolak isra'iliyyat tetapi bersikap menilainya secara adil. Malah, dalam nukilan ini, beliau mensyarahkan pula perkataan yang beliau anggap sebagai isra'iliyyat ini.

Sungguhpun bukan hadith, tetapi makna perkataan tersebut adalah sahih, sehingga ianya disyarahkan oleh para ulama 'termasuk mereka yang mengganggapnya sebagai bukan hadith. Maka, para muhaqqiqin (ulama 'yang teliti) menilai perkataan ini secara adil dan ilmiah, bukan sekadar mengkritik kedudukan perkataan ini semata-mata.

Apa yang penting, makna dari perkataan ini adalah sahih dan disyarahkan oleh para ulama '. CUma, kita perlu ingatkan kepada masyarakat bahawasanya perkataan ini tiada sanad bersambung kepada Rasulullah saw, maka tidak perlulah dinisbahkan kepada Rasulullah saw jika ingin menyebutnya. Begitulah penilaian yang adil.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sila Komen Disini