Dan mereka berkata: `Mengapa rasul ini memakan makanan dan berjalan di pasar-pasar? Mengapa tidak diturunkan kepadanya seorang malaikat agar malaikat itu memberikan peringatan bersama dengan dia?,(QS. 25:7)
Mereka mempersoalkan mengapa rasul ini memakan dan berjalan di pasar-pasar? Mengapa tidak diturunkan kepadanya seorang malaikat untuk sama-sama menyebarkan dakwah Islamiah. Juga mengapa tidak diturunkan kepadanya perbendaharaan atau kebun untuk dimakan hasilnya? Malah orang-orang yang zalim itu berkata: "Kamu sekalian tidak lain hanyalah mengikut seorang lelaki yang kena sihir."
Setelah orang-orang kafir itu mencabar ALLAH SWT dengan mempersendakan Al-Quran, mereka tidak terhenti setakat itu. Mereka menyambung serangan kejam terhadap Nabi Muhammad SAW pula. Apa yang diharapkan ialah agar Muhammad kehilangan pengaruh dan pengikutnya. Manakala risalahnya terbantut dan tidak akan tersebar luas.
Mereka mempersoalkan mengapakah rasul ini makan makanan dan berkalan di pasar-pasar seperti orang kebanyakan? Apakah bezanya orang yang dipanggil rasul jika dia menjalani kehidupan sepertimana mereka juga? Kalau begitu sudah tidak ada apa-apa lagi keistimewaan seorang rasul utusan ALLAH SWT pada mata mereka.
Seungguhnya rasul yang diutus ALLAH SWT kepada khalayak manusia mesti dari kalangan manusia sendiri. Guru sewajarnya menjadi model dan contoh ikutan yang boleh diguna pakai. Jika guru dipilih daripada kalangan Malaikat ia tidak sesuai kerana Malaikat memiliki sifat yang asing. Ia tidak makan, minum, tidur, berkahwin atau beranak. Bagaimanakah manusia hendak mencontohi kehidupan Malaikat yang sempurna? Pasti tidak akan ada keselarasannya.
Sama ertinya dengan keadaan di mana sebuah negara yang rakyatnya terdiri daripada kalangan orang miskin. Sedangkan pemimpin mereka terdiri daripada kalangan orang yang tidak pernah mengenal erti kesempitan hidup. bagaimana mereka hendak berkongsi penderitaan rakyat sedangkan pemimpin itu sejak kecil hingga akhir hayat bergelumang dengan kemewahan? Walaupun mereka boleh membantu membasmi kemiskinan namun dia sesekali tidak dapat menyamatarafkan diri dan jiwanya dengan kehidupan rakyat bawahan.
Sedangkan Nabi Muhammad SAW bukan sahaja seorang miskin, tapi baginda sedia menyamatarafkan dirinya dengan cara hidup orang yang kurang bernasib baik Nabi SAW boleh duduk sehidang bersama golongan fuqara atau ahli suffan yang tidak ada tempat tinggal melainkan di Masjid Mabawi. Dengan demikian, hubungan Nabi SAW dengan umat pimpinannya sentiasa erat dan mesra serta amat serasi.
Apakah motif orang-orang kuffar itu memusuhi Nabi SAW? Pernah baginda menyakiti mereka atau kemiskinan yang menjadikan sebahagian hidup Nabi SAW menimpakan kesukaran kepada orang-orang kafir itu? Walhal kemiskinan hidup Nabi Muhammad SAW tidak pernah menyebabkan baginda meminta-minta. Justeru itu daripada manakah orang-orang kafir itu boleh melahirkan fahaman bahawa para nabi langsung tidak boleh makan minum seperti orang lain? Tidak boleh keluar ke pasar membeli barangan keperluan harian dan bergaul dengan masyarakat setempat.
Fahaman yang menganggap bahawa seseorang itu apabila dianggap pemimpin agama dan umat mestilah mempunyai sifat-sifat seakan-akan Malaikat, mereka itulah pula sebenarnya golongan sesat. Fahman yang tidak munasabah itu pula turut diikuti segelintir orang-orang yang menganut agama cipta manusia yang mengharamkan perkahwinan. Kononya seks itu keji bagi golongan pemimpin agama.
Ada pula di kalangan orang-orang kafir yang kononya berjuang untuk membersihkan jiwa dengan menyeksa diri, hidup berkelana tanpa tempat tinggal, berpakaian lusuh tanpa ganti, tidur di tepi-tepi jalan malah ada yang tidur di atas lantai yang dipenuhi hujung-hujung paku yang tajam. Kononnya semakin terseksa dan menderita tubuh badan, akan bertambah lagi kemurnian jiwanya. Sesungguhnya tidak ada manusia yang mampu membersihkan jiwa dan rohani secara total selain daripada manusia yang bergelar nabi, anbia' dan para ulamak. Tidak ada cara pintas yang boleh dilakukan untuk membersihkan jiwa dan rohani melainkan mengikut apa sahaja yang telah digariskan oleh Islam.
Sebagaimana firman ALLAH SWT melalui Surah Asy-Syams ayat 9-10:
Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu,(QS. 91:9)
Dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.(QS. 91:10)Demikianlah caranya orang-orang kafir menyerang peribadi Nabi SAW, kononnya tidak layak buat seorang bergelar rasul makan, minum dan berjalan ke pasar-pasar. Perbuatan itu sama seperti perbuatan orang awam. Menurut mereka, tiada apa yang luar biasa. Begitulah caranya mereka berkempen untuk memburuk-burukkan dan memperlekeh Nabi SAW pada kaca mata rakyat setempat. Setelah orang-orang kafir puas mencerca kekurangan yang ada pada Muhammad SAW, lalu mereka berkata bahawa lebih munasabah kalau diturunkan Malaikat sebagai utusanALLAH SWT.
Golongan kuffar sengaja menimbulkan isu Malaikat untuk mempertikaikan kelayakan Muhammad SAW. Boleh jadi pada fikiran mereka bahawa Tuhan dan manusia mempuyai perbezaan yang amat jauh. Mereka sekali-kali tidak dapat mencari logiknya bahawa manusia itu boleh bersama dengan Tuhan sekalian alam dalam satu saf fahaman yang sama. Amat sukar bagi orang-orang kafir itu untuk menerima makhluk jenis manusia menjadi rasul ALLAH SWT. Mereka menganggap bahawa para Malaikat lebih layak memikul tugas rasul berbanding dengan manusia. Sukurang-kurangnya Malaikat tidak makan minum, tidak tidur dan tidak berkahwin seperti manusia. Pada fikiran mereka sudah pasti Malaikat lebih layak menjadi rasul terakhir yang akan menyebarkan lembaran suci buat umat sepanjang zaman hingga kiamat.
Sesungguhnya orang-orang kafir tidak faham atau rela untuk memahami. Sesungguhnya di dalam diri manusia ini telah diletakkan oleh-Nya suatu benda yang sangat bernilai yang tidak ada pada makhluk yang lain.