Firman ALLAH SWT dalam Surah Hud, ayat 3:
Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu dan bertaubat kepada-Nya. (Jika kamu mengerjakan yang demikian), niscaya Dia akan memberi kenikmatan yang baik (terus menerus) kepadamu sampai kepada waktu yang telah ditentukan dan Dia akan memberikan kepada tiap-tiap orang yang mempunyai keutamaan (balasan) keutamaannya. Jika kamu berpaling, maka sesungguhnya aku takut kamu akan ditimpa siksa hari kiamat.(QS. 11:3)
Firman ALLAH SWT kagi menerusi Surah Nuh, ayat 10-12:
Maka aku katakan kepada mereka:` Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun,(QS. 71:10)
(sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat,(QS. 71:11)
Dan ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai.(QS. 71:12)
Dua ayat di atas menunjukkan dengan jelas bahawa Nabi Hud AS dam Nabi Nuh AS telah menyeru kaumnya berbagai-bagai janji yang benar. Sekiranya mereka mohon keampunan daripada doa yang dilakukan nescara ALLAH SWT akan mengirimkan hujan yang lebat. Janji tersebut sememangnya cukup menarik bagi penduduk yang tinggal di kawasan gunun yang gersang. Hujan merupakan impian setiap penduduk kerana air merupakan keperluan utama bagi kehidupan mereka. Mereka sering berperang antara puak semata-mata untuk menguasai sumber air. Justeru itu hujan yang dijanjikan itu adalah suatu tawaran yang istimewa yang akan menyuburkan tanah-tanah, menumbuhkan tanaman dan tumbuhan serta membiakkan ternakan sebagai punca rezeki.
Nabi Nuh AS juga memberitahu kaumnya jika mereka beriman kepada ALLAH SWT akan menjadikan sungai-sungai mengalir di dalam perkaumpungan mereka. Dengan demikan, ladang-ladang mereka akan mudah dialir air sungai. Lalu mereka tidak akan bimbang lagi dengan datangnya musim kemarau kerana air sungai sentiasa mengalir.
Demikian janji para rasul itu terhadap umatnya yang begitu sukar untuk menyabut seruan agama, mereka hanya tertarik dengan janji yang menarik dari para rasul yang diutus. Demikian pula tentang kejahatan yang dilakukan oleh umat terdahulu, ALLAH SWT segera menurunkan balasan-Nya dengan pelbagai cara. Ada antaranya diturunkan para malaikat pada waktu malam, akan menulis segala kejahatan itu di atas pintu-pintu rumah mereka, supaya esok pagi semua orang yang lalu pasti melihatnya. Dengan demikian mereka akan merasa malu untuk mengulangi kejahatan kerana telah diketahui oleh orang ramai.
Selain itu, ALLAH SWT menurunkan juga pelbagai bala dari langit untuk membalas kejahatan mereka. Ada yang diturunkan api dari langit, hujan batu, angin taufan dan juga gempa bumi yang memusnahkan segala-galanya. Itulah balasan segera ALLAH SWT terhadap kejahatan umat yang terdahulu.
Lihatlah apa yang berlaku kepada Firaun dan bala tenteranya, ketika mereka menghambat Nabi Musa AS dan para pengikutnya. Dengan kuasa ALLAH SWT, Laut Merah terbelah dua dengan pukulan tongkat Nabi Musa AS. Alhamdulillah, Nabi Musa AS dan kaumnya dapat menyeberangi Laut Merah dengan selamat. Tetapi laut yang terbelah itulah menjadi kuburan kepada Firaun dan bala tenteranya yang angkuh sebaik sahaja mereka berada di lorong maut itu. ALLAH SWT lakukan demikian kepada Firaun secara spontan untuk menghukum kaum yang zalim itu.
Kesemua ini menggambarkan seolah-olah ALLAH SWT melayan umat terdahulu sepertimana seorang ayah mendidik anak-anaknya masih kecil. Meminta dilakukan sesuatu pekerjaan dengan berbagai janji indah, namun kebanyakan mereka tidak menghiraukan janji-janji itu. Apabila mereka melakukan kesalahan, maka ALLAH SWT segera menghukum mereka seperti kanak-kanak kecil dirotan untuk diberikan pengajaran.
Manusia dewasa mestilah didahului dengan zaman kanak-kanak, kemudian menjadi remaja, dewasa dan seterusnya tua. Tabiat orang-orang dewasa semestinya berbeza dengan tabiat kanak-kanak. Biasanya kanak-kanak atau golongan remaja tidak mudah untuk menerima nasihat. Maka jika mereka melakukan kesalahan, wajarlah mereka dinasihat atau dirotan.
Contohnya, Rasulullah SAW menganjurkan umatnya supaya memerintahkan anak-anak mendirikan solat ketika berumur tujuh tahun. Apabila sudah cukup umur sepuluh tahun jika masih enggan mendirikan solat maka bolehlah dipukul dengan pukulan yang boleh memberikan pengajaran.
Bagi orang dewasa jika mereka melanggar perintah ALLAH SWT adakah wajar mereka dipukul seperti kanak-kanak? Sudah tentu tidak. Contohnya apabila seorang isteri nusyuz (meninggalkan kewajipan bersuami isteri, seperti meninggalkan rumah tanpa izin suami), cara terbaik mengatasi nusyuz (derhaka) pihak isteri itu ialah dengan mendidiknya secara berperingkat-peringkat.
Firman ALLAH SWT dalam Surah An-Nisa' ayat ke 34:
Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh karena Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan karena mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebagian dari harta mereka. Sebab itu maka wanita yang saleh, ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri di balik pembelakangan suaminya oleh karena Allah telah memelihara (mereka). Wanita-wanita yang kamu khawatiri nusyuznya, maka nasehatilah mereka dan pisahkanlah diri dari tempat tidur mereka, dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka mentaatimu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkannya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.(QS. 4:34)
Mula-mula hendaklah diberi nasihat,sekiranya segala nasihat tidak meninggalkan kesan seperti yang diharapkan, kemudian ambillah tindakan yang lebih tegas. Dipulaukan tempat tidurnya iaitu mengasingkan diri dari tempat tidur mereka. Dengan tujuan untuk menyedarkan mereka. Isteri yang berfikiran jauh dan mempuyai perasaan akan tertanya-tanya di dalam hatinya; mengapa suami memulaukan dirinya? Andainya tindakan itu tidak berkesan dan masih berdegil dengan keingkarannya, suami boleh mangambil langkah meminta bantuan orang tengah yang bijaksana dan dihormati dalam menasihati isterinya. Jika masih gagal, barulah muncul jalan terakhir iaitu memukulnya denga pukulan ringan bertujuan memberi pengajaran.
Sesungguhnya dalam kehidupan rumah tangga, nasihat-menasihati sewajibnya menjadi milik bersama antara suami isteri kerana agama itu adalah sendiri mengandungi nasihat. Maksudnya umat Islam sama ada lelaki atau perempuan berhak memberi dan juga menerima nasihat. Tetapi ALLAH SWT telah memberikan sesuatu kelebihan kepada lelaki di mana mereka menjadi pemimpin dalam sesebuah rumah tangga. Justeru itu dalam perkara nusyuz, pada suatu peringkat suami mempunyai hak mengambil langkah tegas dan keras terhadap isteri iaitu memukulnya sebagai pengajaran. Maka isteri hanya memberikan kuasa memimpin rumah tangga kepada suami sebagai memimpin dalam rumah tangga.
Firman ALLAH SWT menerusi Surah An-Nisa' (sebahagian ayat ke-34):
Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita,
Walau bagaimanapun, memukul isteri yang nusyuz itu harus dilakukan hanya pada tempat tertentu dengan pukulan yang tidak mendatangkan mudarat. Bukan dipukul anggota badan yang sensitif seperti wajah atau kepala dan seumpamanya.
Pukulan itu pula wajiblah sekadar untuk menimbulkan rasa insaf dan malu. Maka dengan sebab itu tidak harus melakukannya sehingga meninggalkan kesan kecederaan kerena mereka manusia dewasa yang mempunyai maruah. Sewajarnya si isteri pula segera insaf dengan pukulan itu dan merasa malu apabila orang lain tahu bahawa dia dipukul oleh suaminya kerana keingkaran dan kederhakaannya.
Sesungguhnya bagi orang dewasa ada kalanya mereka akan lebih malu kalau dijentik mukanya berbanding ditampar pipirnya. Dijentik muka itu bererti maruahnya sudah tercalar. Orang dewasa tidak layak bergaduh atau bertumbuk seperti kanak-kanak. Tentulah amat memalukan jika mereka dikataksn orang dewasa berperangai seperti budak-budak.
Furqaan (batu sempadan) yang kedua ialah zaman yang memisahkan antara umat yang melihat mukjizat para rasul dengan bukti benda yang dapat dilihat. Mukjizat dapat dibuktikan kebenarannya dengan berfikir.
Tidak mudah umat terdahulu untuk beriman dengan kenabian atau kerasulan seseorang utusan ALLAH SWT. Lihatlah bagaimana Nabi Saleh AS menghadapi kerenah umatnya yang keras hati.
Firman ALLAH SWT menerusi Surah Asy-Syu'aara : 153-156:
Mereka berkata:` Sesungguhnya kamu adalah salah seorang dari orang-orang yang kena sihir;(QS. 26:153)
kamu tidak lain melainkan seorang manusia seperti kami; maka datangkanlah sesuatu mukjizat, jika kamu memang termasuk orang-orang yang benar `.(QS. 26:154)
Shaleh menjawab:` Ini seekor unta betina, dia mempunyai giliran untuk mendapatkan air, dan kamu mempunyai giliran pula untuk mendapatkan air di hari yang tertentu.(QS. 26:155)
Dan janganlah kamu sentuh unta betina itu dengan sesuatu kejahatan, yang menyebabkan kamu akan ditimpa oleh azab hari yang besar `.(QS. 26:156)Kisah kedegilan umat Nabi saleh AS telah digambarkan dengan jelas di dalam ayat tersebut. Adalah lazim bagi umat yang terdahulu menuduh nabi mereka sebagai orang yang terkena sihir atau ahli sihir malah lebih dahsyat, lagi telah gila. Demikian jugalah dengan umat Nabi Saleh AS yang mereka menganggap baginda itu adalah manusia biasa yang tidak ada sebarang kelebihannya.
Dengan sebab itu jika Nabi Saleh AS ingin membuktikan kenabiannya, kaumnya telah mencabarnya supaya mengeluarkan seekor unta dari seketul batu yang terbelah secara tiba-tiba di hadapan mereka. Nabi Saleh AS memberi amaran keras kepada kaumnya sekiranya apa yang dikehendakinya diperkenankan oleh ALLAH SWT, maka janganlah mereka mengingkarinya dengan kejahatan. Sesungguhnya perbuatan itu akan membolehkan mereka ditimpa azab dahsyat.
ALLAH SWT telah mempertahankan para nabi-Nya dengan mendatangkan mukjizat yang membolehkan kaum Nabi Saleh AS dapat melihat kemunculan unta betina dari batu pejal yang terbelah. Tetapi kaum Nabi Saleh AS telah mengingkari janji, sebagaimana yang dijelaskan oleh ayat-ayat berikut:
Kemudian mereka membunuhnya, lalu mereka menjadi menyesal,(QS. 26:157)
maka mereka ditimpa azab. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat bukti yang nyata. Dan adalah kebanyakan mereka tidak beriman.(QS. 26:158)
Demikianlah kisah kaum Nabi saleh AS yang merupakan sebahagian daripada episod perbandingan jelas antara warak kaku dan keras hati sesebuah umat sebelum kedatangan Al-Quran. Meskipun munculnya perkara luar biasa apabila unta tersebut keluar melalui batu, itulah mukjizat Nabi Saleh AS (dengan izin ALLAH SWT). Namun mereka lebih bersedia ditimpa azab dan tetap mengingkari janji lantas memilih untuk terus tidak beriman kepada ALLAH SWT dan Rasulnya.
Firman ALLAh SWT:
Lalu mereka mendustakannya dan menyembelih unta itu, maka Tuhan mereka membinasakan mereka disebabkan dosa mereka, lalu Allah menyama-ratakan mereka (dengan tanah),(QS. 91:14)
Ada pun generasi selepas turunnya Al-Quran, umatnya disifatkan sebagai satu golongan umat yang dewasa dan matang. Memadailah mereka dipandu langkah hidupnya dengan Al-Quran yang juga dikenali sebagai Al-Furqaan itu. Mereka boleh mengambil perbandingan daripada kisah-kisah kaum yang terdahulu untuk menjadi tazkirah, nasihat-nasihat berharga yang memberi manfaat, serta hukum-hukum yang sempurna. Juga mengambilnya sebagai batu tanda (Furqaan) yang memisahkan antara hak dan batil dan antara perkara halal dan haram.
Malah sekeras-keras hati Umar Al-Khattab sebelum berimannya beliau, telah sanggup membunuh anak perempuannya sendiri sambil ketawa riang. Tetapi hatinya terus menjadi lembut dan mengalir deras air matanya tatkala timbulnya keinsafan setelah mendengar lantaran ayat-ayat suci Al-Quran yang dibacakan oleh saudara perempuannya.
Langsung beliau tidak meminta supaya batu menjadi unta ataupun apa-apa seterafnya bagi membuktikan kerasulan Nabi Muhammad SAW. Sebaliknya memadai hanya dengan sebuah naskah Al-Quran yang menjadi penawar hati, panduan hidup dan ikutan hidup.